Cabaran menjadi orang berumur memang banyak terutama dalam soal kesihatan. Apabila umur meningkat, makin banyaklah penyakit mula datang bertandang khususnya yang mempunyai kaitan rapat dengan gaya hidup seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.
Tiga penyakit ini boleh diumpamakan sebagai sahabat karib. Jika menghidap diabetes, kebarangkalian mengalami tekanan darah tinggi amat besar dan gandingan dua penyakit ini meningkatkan risiko mendapat serangan jantung. Berbanding diabetes dan tekanan darah tinggi, serangan jantung lebih menakutkan-sesuai dengan gelarannya sebagai pembunuh nombor satu di dunia.
Kenyataan bahawa hormon estrogen melindungi wanita muda daripada penyakit jantung membuatkan ramai orang berasa lega. Bagaimanapun, pakar jantung di Pusat Perubatan Montefiore di New York City, Dr J Julia Shin berkata, kenyataan itu tidak tepat. Ini kerana ramai wanita muda mendapat serangan jantung yang berakhir dengan kematian.
Persatuan Jantung Amerika (AHA) melaporkan secara purata seorang daripada empat wanita di negara itu meninggal dunia kerana penyakit jantung. Sebanyak 16,000 kematian membabitkan penyakit jantung dan 40,000 kes kemasukan ke hospital akibat masalah jantung direkodkan setiap tahun di Amerika.
Apa yang membimbangkan, penyakit jantung pada wanita biasanya lebih teruk berbanding lelaki. Selain masalah biasa penyempitan salur darah yang menjadi punca utama serangan jantung, ada dua lagi keadaan yang berlaku pada wanita iaitu penyakit mikrovaskular koronari (masalah pada salur darah halus pada jantung) dan sindrom patah hati iaitu tekanan emosi keterlaluan yang mengakibatkan kegagalan otot jantung jangka pendek, tetapi amat berbahaya.
Lebih mengejutkan, jumlah wanita yang meninggal dunia akibat penyakit jantung lebih ramai daripada lelaki. Puncanya? Wanita mempunyai daya ketahanan kepada rasa sakit yang lebih tinggi. Sebab itulah ketidakselesaan atau tanda penyakit sering dipandang ringan dan dianggap 'masalah biasa'.
Tanda serangan jantung yang paling biasa pada lelaki dan wanita ialah rasa tidak selesa atau sesak dada. Tanda ini mungkin kuat atau amat sedikit yang boleh berlanjutan sehingga beberapa minit. Ia boleh hilang dan datang kembali.
Ada beberapa tanda biasa yang lain iaitu:
-Rasa sakit atau tidak selesa pada lengan (sebelah atau kedua-duanya), belakang, leher, rahang atau perut.
-Sesak nafas. Ia boleh berlaku sebelum atau ketika sakit dada.
-Mual atau muntah.
-Pening atau rasa seperti hendak pitam.
-Berpeluh dalam suasana sejuk.
Menurut risalah pendidikan WedMD, bagi wanita, ada beberapa tanda tambahan kurang lazim yang perlu diperhatikan iaitu:
-Rasa pedih ulu hati
-Hilang selera makan
-Sentiasa berasa letih
-Batuk berpanjangan
-Berdebar-debar
Seperti penyakit lain, risiko untuk mendapat serangan jantung bertambah dengan peningkatan umur, baik bagi lelaki mahupun wanita. Oleh kerana serangan jantung pada wanita itu lebih teruk, sudah sampai masanya untuk kita memberi lebih perhatian kepada penjagaan kesihatan khususnya dengan melakukan senaman.
Laman web kesihatan, HealthDay melaporkan senaman secara berkala dapat membantu melindungi wanita berusia daripada masalah jantung terutama degupan jantung yang tidak normal yang juga boleh menyebabkan serangan jantung.
Laporan yang disiarkan dalam Jurnal AHA pada Ogos lalu mengatakan wanita menopaus yang aktif mempunyai risiko 10 peratus lebih rendah untuk mengalami masalah degupan jantung tidak normal berbanding yang mengamalkan gaya hidup santai walaupun mereka tergolong dalam kategori obes.
Lebih menarik, kata ketua penyelidik kajian, Dr Marco Perez dari Pusat Pengajian Perubatan Stanford di California, wanita berumur yang obes mendapat manfaat lebih besar jika mereka rajin bersenam.
Bagaimanapun, ada juga kumpulan yang mengalami masalah degupan jantung tidak normal ini menjadikan ia sebagai alasan untuk tidak bersenam kerana bimbang aktiviti fizikal akan memburukkan degupan jantung mereka.
Ia berikutan penemuan masalah degupan jantung tidak normal yang dialami sesetengah atlet selepas melakukan senaman berat dan sukar. Ia menyebabkan sesetengah doktor mula bimbang dan ragu jika senaman boleh meningkatkan risiko serangan jantung pada kumpulan itu.
Namun Dr Perez berkata, kajian bersama kumpulan penyelidiknya itu mendapati aktiviti menggerakkan badan adalah satu perkara baik walaupun untuk mereka yang ada banyak risiko penyakit jantung. Malah, keadaan degupan jantung tidak normal itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak bersenam dan mengamalkan gaya hidup aktif.
Kajian selama 11 tahun membabitkan 80,000 peserta berumur 50 hingga 79 tahun itu dilakukan dengan kerjasama Inisiatif Kesihatan Wanita. Pada awalnya penyelidik bertanya kepada peserta kekerapan berjalan di luar rumah melebihi 10 minit setiap hari dan kekerapan terbabit dalam aktiviti fizikal yang membuatkan mereka berpeluh.
Selepas 11 tahun, penyelidik mendapati kebanyakan wanita yang aktif mempunyai risiko 10 peratus lebih rendah untuk mengalami masalah degupan jantung tidak normal berbanding mereka yang tidak bersenam (berjalan di luar) sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu.
Kumpulan yang mendapat manfaat paling tinggi ialah wanita yang lebih kerap bersenam atau berjalan cepat selama 30 minit enam hari seminggu atau berbasikal santai selama sejam dua kali seminggu.
Malah, kajian mendapati berjalan cepat selama 30 minit dua hari seminggu juga boleh mengurangkan risiko sebanyak enam peratus daripada mendapat masalah degupan jantung tidak normal. Aktiviti fizikal dilihat mampu mengurangkan risiko ini dengan merendahkan tekanan darah dan keradangan yang berlaku dalam badan, kata Dr Perez.
Jika anda juga seorang perokok, berusahalah untuk berhenti merokok. Menurut AHA, wanita yang merokok berhadapan dengan kebarangkalian mendapat serangan jantung 19 tahun lebih awal berbanding wanita tidak merokok.
Sebaik anda berhenti merokok, tahap kesihatan akan berubah mendadak ke arah lebih baik dalam tempoh singkat. Perubahan positif ini bukan saja memberi kebaikan kepada anda malah kesan kebaikannya akan turut dinikmati oleh seisi keluarga.